SEJARAH KAMPUNG

Gua Kerbau, Kodiang

Kampung Pering telah  di buka sekitar tahun 1600 masihi oleh seorang tokoh yang bernama ‘Tok Pering’. Mengikut sumber sejarah lain PERING dalam bahasa siam adalah POKOK REMIA yang menjadi tempat persinggahan rombongan bergajah yang menghantar bunga emas dari Kedah ke Siam . Kedua-dua sumber ini menjadikan nama besar bagi  Kg.Pering .Nama Mukim Pering juga adalah bersempena dengan kewujudan Kampung Pering sebagai kampung yang tertua dan kini telah menjadi Mukim kepada 14 buah kampung disekitarnya iaitu Kampung Kandis, Meribut, Kolam, Bukit Kalong, Kampung Raja, Bukit Hantu, Sri Paya, Batu 1 Jalan Sanglang, Batu 2 3/4 Jalan Sanglang, Pida 8 Pering, Pida 6 Jalan Sanglang, Pulau Siputeh, Lindungan Bulan Siputeh dan Seberang Siputeh.

                Kampung ini mempunyai sejarah yang tersendiri iaitu telah terlibat secara tidak langsung di dalam peperangan di antara Kedah Tua (Kota Siputeh) dengan angkatan tentera Acheh yang bermula dari perbalahan di atas pertukaran di antara dua orang puteri iaitu Puteri Berdarah Merah dan Puteri Berdarah Puteh. Konflik ini berlaku di sebabkan oleh peminangan yang datangnya dari Raja Acheh yang ingin menyunting Puteri Lindungan Bulan yang berdarah puteh, tetapi telah ditukarkan dengan puteri yang berdarah merah. Apabila Raja Acheh mengetahui yang dirinya telah di tipu, maka beliau terus melancarkan peperangan ke atas kerajaan Kedah Tua. Padang Kubu iaitu salah satu kawasan yang terdapat di Kampung Pering telah dijadikan sebagai medan pertempuran diantara dua musuh ini yang telah menggunakan ‘buluh runcing’ sebagai senjata di dalam peperangan tersebut. Sehingga tahun 1980-an, masih terdapat serumpun buluh di kawasan Padang Kubu hasil daripada panahan buluh dalam pertempuran tersebut. Tetapi, pada masa ini kawasan tersebut telah dijadikan sebagai kawasan sawah padi.


                Kampung Pering, Mukim Pering ini telah menjadi legenda kampung yang terunggul kerana tidak semua kampung mempunyai sejarah menarik seperti ini. Sehingga Jun 2014, jumlah penduduk kampung ini telah menjangkau sebanyak 672 orang iaitu terdiri dari 329 orang lelaki dan perempuan pula seramai 343 orang. Keluasan Kampung Pering dianggarkan seluas  8 km persegi dan seratus peratus penduduknya adalah  beragama Islam. Jumlah rumah kediaman di Kampung Pering adalah sebanyak 168 buah yang terdiri daripada pelbagai jenis reka bentuk. Bagi sektor ekonomi pula, dianggarkan sebanyak 80 % penduduk kampung ini menceburi bidang pertanian dan selebihnya bekerja di dalam sektor kerajaan, swasta dan perniagaan. Paling membanggakan ialah terdapat  melebihi  60 orang anak jati kampung ini yang sedang  dan telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi sama ada dari institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

1 comment:

Unknown said...

Gambar di atas bukan gambar gua kerbau